SHAH ALAM, 23 NOV: Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir ke Karnival Ban Canal 2024 di Sabak Bernam bermula 26 November hingga 1 Disember depan.
Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata bilangan pengunjung karnival sukan air di Ban Canal Parit 14, Simpang Lima, dijangka meningkat kerana dianjurkan selama enam hari berbanding tiga hari pada tahun sebelumnya.
"Penganjuran kali pertama pada 2022 menarik lebih 3,000 pengunjung dan kali kedua 13,889. Jadi tahun ini kita jangka lebih 20,000 pengunjung. Acara tahun ini juga amat istimewa kerana Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut dijadual hadir.
"Kita juga perbaiki beberapa kekurangan daripada penganjuran sebelum ini dengan menaik taraf infrastruktur termasuk menyediakan parkir yang lebih sistematik," kata Saipolyazan M Yusop.
[caption id="attachment_674553" align="aligncenter" width="700"]
Acara kayak antara aktiviti Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Bercakap pada program Hai Selangor terbitan Selangor TV baru-baru ini, beliau turut memaklumkan antara aktiviti yang bakal menjadi tarikan pengunjung ialah sukan air dan larian bendang.
"Banyak aktiviti dianjurkan dan kita jangka yang dinanti adalah sukan air dan larian bendang kerana rata-rata masyarakat mengatakan tidak dapat menyertainya pada tahun lepas. Malah, acara sukan air juga kita buka kepada umum berbanding sebelum ini hanya untuk persatuan sahaja.
"Selain itu, kita juga menambah jumlah pempamer termasuk berkaitan produk pelancongan, peniaga trak makanan dan Platform Selangor (PLATS), program keagamaan serta membawa seni mempertahankan diri Silambam dan kaligrafi," katanya.
Sebelum ini EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata Karnival Ban Canal bakal menjadi salah satu acara ekopelancongan dalam kalendar tahunan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).
Projek Ekopelancongan ban canal antara 18 program dan inisiatif (PPI) yang didaftarkan di bawah SABDA.
Infrastruktur terusan Ban Canal sepanjang 30 kilometer bukan sahaja menyediakan sistem pengairan untuk sawah padi tetapi turut menjadi destinasi riadah bagi komuniti tempatan.



