ad
BUDAYA

Semuanya Telah Diungkapkan

17 Nov 2024, 12:30 AM
Semuanya Telah Diungkapkan

Oleh Qurratul 'Ain

DALAM sejarah, semuanya telah diungkapkan. Kerana semuanya telah difikirkan dan dipertimbangkan, kurun-kurun terdahulu. Dan kerana ia mengungkap dan menyingkap, sejarah selalu memukau orang-orang terkemudiannya. Semacam harta karun yang dalam peta imaginasi. Walaupun pukauannya berakar umbi daripada bias, terbentuk dengan geopolitik dan sosio-budaya pada waktu itu menyebabkan kebenarannya dipertandingkan, tetapi ia tetap memukau. Betul atau salah. Sahih atau palsu. Sejarah semacam dongengan, yang terasa jauh dan bermain-main dalam bayangan yang berkabus. Padahal ia semakin mendekat.  Dalam usaha ingin memecahkan kebuntuan untuk menulis hal yang baharu, saya berjalan ke dalam sejarah. Pantun, syair, gurindam walaupun pernah diperdengarkan secara langsung, tetapi ia tetap terasa jauh, dan kesuburannya hanya dalam lintasan sejarah. Dalam masa lampau. Namun ia sedang mengekori kita yang sedang berjalan menuju masa depan.

Setiap bucu yang diperkecilkan. Setiap bahasa yang terkelu. Setiap gereja yang terlipat dalam peta. Setiap jelaga yang menutupi hari. Setiap seramik. Setiap setan yang ditepis. Setiap bahasa hukum. Semua ekspresi luar biasa sudah diungkapkan.

Maka, apa lagi yang belum diungkapkan?

Semua telah diperkatakan. Lelaki-lelaki Yunani dulu sudah memperkatakan setiap keresahan yang menggelung di mata manusia. Nabi-nabi sudah kehabisan luka menahan nama tuhan diukir dengan lumuran tanah liat yang mengeras. Ilmu hisab semudah-mudah lima batang garis di dinding gua. Konsep kecerdasan buatan sudah mengakar dalam disiplin perkomputeran waktu 60-an. Semuanya telah diungkapkan. Kita sudah lagi tidak istimewa. Keistimewaan juga sudah berubah maksud: ia bukan lagi tentang dia membawa sesuatu yang asli atau original, tetapi yang menjadikan kita istimewa adalah apa yang kita sudah cerap dan konsumsi. Seberapa banyak bacaan, media, pengetahuan kita sudah terima dan tahu? Itulah keistimewaan. Tetapi tidak menjadikan kita secara esensinya asli dalam pengkaryaan.

Borges yang dikatakan membawa ‘fiksyen mustahil’, dengan infiniti-nya tersendiri, juga mengikut jejak-jejak bacaan mitos lama. Infiniti setua waktu. Aleph/alif dalam diri Borges, adalah psyche Orang-Orang Gurun. Maka, apa lagi yang asli– jika idola kita juga mewarisi ketokohan dan keperibadian yang terbentuk oleh leluhur dan sekitar?

Saya ada ketakutan yang saya ciptakan sebagai penulis, iaitu keghairahan mencari yang baharu, paling tidak hal-hal orang lupa atau berat hati melihatnya. “Tulislah sesuatu yang baharu.” Ini pujukan saya kepada saya, pujukan saya sebagai penulis yang masih mencari identiti dan kesejatian. Sebetulnya fahaman penulis terhadap ‘perkara baharu’ juga tidak semudah ‘kemajuan membaca yang macam-macam’, ‘bentuk puisi yang tidak konvensional’, ‘cerpen yang anti-cerita’- kerana apa yang segar itu, kerana kita menghidupkannya kembali. Ibadah revivalism yang tidak pernah putus-putus dalam rutin pengkarya. Revivalism bermaksud, keaslian sudah tidak ada. Ia cuma pernah ada, dan kemudian mati atau beku.

Kita saling berkongsi keaslian. Ia alami dan tidak dapat dijejak siapa pemulanya. Seperti bertanya, siapa orang pertama mengungkap pantun dan memberikan ia nama ‘pantun’- kerana literasi huruf yang terhad dan sangat asing dalam kebanyakan masyarakat kelas bawahan hampir serata dunia. Keaslian sangat memihak pada kekolektifan. Ia milik saya, kamu dan semua. Memikirkan rima akhir juga suatu bentuk idea yang difikirkan secara kolektif dan bersama, merentas budaya dan zaman. Bukankah lebih baik ada semacam ingin-tahu atau inkuiri, mengapa manusia terpaut pada rima yang sepadan? Secara logik, pasti, pantun tidaklah sepenuhnya unik kerana dalam sastera tradisional Inggeris juga ada limerick. Masnavi dalam Farsi. Keterpesonaan terhadap susunan bahasa yang simetrikal (a-b-a-b) adalah suatu hal yang lumrah dan alami. Akhirnya, kita jadi terkelu, apakah yang belum ditemukan dan diteroka, jika banyak yang serupa?

Tentunya, apa yang diperkatakan ini bukan menafikan bukti intelek pantun, apa lagi membenarkan plagiat atau peniruan yang bulat-bulat hanya sebab kenyataan ‘tidak ada keaslian’. Jangan simplistik atau mudah menyangkal. Kerana keaslian adalah alami. Keaslian memperlihatkan manusia fikir lebih-kurang sama walaupun disempadankan oleh muslihat benua dan keraksasaan laut. Jadi apa yang asli kalau semuanya telah diungkapkan dalam kiraan yang purba?

Saya cenderung melihat konotasi ‘asli’ merujuk kepada ‘baharu’ walaupun asli tidak semestinya bersifat baharu atau kontemporari. Dalam menilai karya dan idea secara kritis, kita akan mula perlahan-lahan meminggirkan keaslian sebagai asas, tetapi bagaimana penulis mengadaptasi dan mentafsir dengan keterbatasan pengetahuan dan bahasanya? Bagaimana penulis membawa keseluruhan asuhan, pegangan dan perasaannya yang tersendiri dalam berkarya meskipun apa yang dia tuliskan itu hal yang klise dan tipikal? Seperti mengungkapkan cinta, cuma dengan kepercayaan dan prinsipnya yang tersendiri.

Saya mula memikirkan, baharu di mana? Membaca ratusan inovasi, revolusi, evolusi tidak memandulkan fikiran, namun ia membawakan seperangkat rasa dejavu tiap waktu kita melintas suasana. Sebenarnya kita sedang mengulang. Mengitar semula. Barangkali pada suatu saat idea terlalu ramai dan saling meniduri - dan kita terpaksa meminggirkan hal-hal yang tidak sempat terkata atau terfikirkan. Maksud baharu dalam pengkaryaan dan idealog, dengan tafsiran sendiri. Katakan, saya menulis tentang infiniti yang terilham daripada Borges - dengan psyche Melayu, urban, Muslim - tentunya sedikit berbeza. Atau saya menulis seperti Rumi - dengan spiritualiti yang moden. Akhirnya itu jadi mengada-ngada dan pretentious, seperti esei ini.

Apa guna zaman yang bersilih ganti kalau semuanya telah diungkapkan? Hidup terus berjalan seperti air.

“Mesti ada yang kita belum temukan.” Begitu kita memujuk diri yang buntu ketika kita berdepan halaman kosong. Kemungkinan kita sudah menemukan sesuatu yang sejati, tetapi tidak cukup luar biasa sampai orang menganga. Inilah ketaksuban dan keegoan kita ingin menyatakan, ‘karya’ ini milik aku. Idea ini milik aku. Keakuan memang padah besar dalam kemodenan yang selalu membuatkan kita optimistik kepada diri sendiri.

Di sini keterdesakan ingin mencari baharu, atau ingin dilihat membawa perkara baharu mendesak kita untuk terus bersangka, ada lapis yang belum lunas dibuka. Apa benar? Barangkali yang belum terbuka adalah diri kita sebagai individu. Kerana kita memang dicipta untuk didengari dan dilihat. Sekarang, hampir semua sudah telanjang. Apabila semua sudah telanjang, kita hanya mampu membandingkan ketelanjangan masing-masing, bukan lagi ketelanjangan siapa yang lebih asli, lebih baharu, lebih sejati?

Tetapi apa yang saya menulis ini sudah dan pasti berkali-kali diungkapkan oleh barisan penulis terdahulu. Kegeraman dan kebengangan kerana tidak dapat menulis sesuatu yang baharu yang kononnya akan membezakan kita daripada penulis lain. Lalu kedambaan itu menjadi sebentuk diam yang menjerlus kita. Diam yang telah mengungkapkan segalanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.