AGENDA

PM: Langkah Malaysia tekan Israel melampaui kesanggupan negara lain

4 Nov 2024, 5:58 AM
PM: Langkah Malaysia tekan Israel melampaui kesanggupan negara lain
PM: Langkah Malaysia tekan Israel melampaui kesanggupan negara lain

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan mengambil langkah wajar dan tegas, malah melampaui kesanggupan negara lain dalam memberi tekanan berterusan untuk Israel menghentikan kekejaman terhadap Palestin.

Tanpa mengetepikan kepentingan rakyat dan jaminan keamanan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah diambil kerajaan mesti didasari strategi tepat dan kukuh.

Beliau menjelaskan Malaysia kekal berpendirian tegas, termasuk menyekat syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh dalam negara pada Disember tahun lalu.

“Ada yang mencadangkan kedudukan kita dalam hal syarikat (kepentingan dengan Israel). Pendirian Malaysia tegas, tidak banyak negara di dunia ini mengambil keputusan seperti yang kita lakukan.

[caption id="attachment_656841" align="aligncenter" width="779"] Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam Himpunan Solidariti Palestin di Stadium Axiata Arena pada 4 Ogos bagi membantah pembunuhan Ismail. Kira-kira 12,000 orang hadir perhimpunan itu[/caption]

“Janganlah menggesa kita buat lebih daripada itu kerana semasa rakan-rakan (pembangkang) dalam pemerintahan pun, mereka tidak lakukan begitu. Malah, mereka mengizinkan kapal ZIM berlabuh.

“Puluhan malah ratusan syarikat yang ada kerjasama dagangan dengan Israel berdagang dengan semua negara termasuk Malaysia dan negeri diperintah pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab cadangan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mahu kerajaan memutuskan kerjasama dagangan dengan syarikat yang mempunyai kepentingan dengan rejim Zionis itu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga wakil rakyat Tambun menegaskan keamanan dan kepentingan rakyat negara ini menjadi keutamaan pihaknya dalam membuat sebarang keputusan.

Beliau juga memastikan keputusan diambil bukan hanya retorik untuk menarik perhatian orang ramai, malah banyak perbincangan dibuat berhubung risiko kelantangan Malaysia dalam isu Palestin.

“Pagi tadi saya berbincang dengan Menteri Luar Negeri (Dato’ Seri Mohamad Hasan) tentang kenyataan-kenyataan kita dan bagaimana untuk tangani supaya Malaysia tidak terjejas .

“Mutakhir ini jika baca buku beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, pemerintahan digulingkan kerana pendirian tegas yang dianggap bertentangan dengan sikap dan pendirian mereka. Ini risiko yang saya fikirkan dan saya tidak ketepikan,” katanya.

Sehingga Jumaat lalu, konflik di Gaza mengorbankan 43,204 nyawa, termasuk 16,500 kanak-kanak. Seramai 101,641 rakyat Palestin dilaporkan cedera, manakala 11,000 lagi dilaporkan hilang.

Secara purata, seramai 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 cedera setiap hari sejak Oktober 2023.