SHAH ALAM, 24 OKT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengkaji semula Akta Badan-Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj 2000 (Akta 605) khusus untuk memberi kebebasan bersuara di universiti awam.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata universiti awam tidak sepatutnya terikat dalam keseluruhan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada badan berkanun untuk menyampaikan pandangan.
"Jadi perkara ini kita sedang lakukan supaya kembalikan semula roh universiti yang sebenar dengan memberi ruang berbicara serta memikir, dan dalam masa yang sama pensyarah bertanggungjawab atas disiplin ilmunya.
“Saya sedang mencuba perkara ini bagi membolehkan supaya iklim dalam universiti tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka.
“Tapi dengan syarat dalam tradisi keintelektualan, seorang yang bercakap tidak merapu tanpa fakta dengan teori yang bukan-bukan. Jadi kita akan lihat semula dalam konteks akta ini,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, tular surat pekeliling dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada seluruh warga akademik dan petugasnya berhubung arahan tidak boleh mengeluarkan kenyataan termasuk di media sosial hingga mencetuskan pertikaian banyak pihak.
Menyedari wujud keresahan daripada surat pekeliling itu, Zambry berkata, universiti yang keliru terhadap arahan tertentu berkaitan badan berkanun khususnya diminta untuk merujuk kepada KPT.
“Persoalannya, bagaimana pengurusan universiti mengambil perhatian terhadap setiap arahan atau peringatan yang diberikan oleh JPA.
“Lantaran itu antara langkah yang telah saya ambil untuk pastikan supaya sebarang arahan itu tidak hanya ditafsirkan sehala. Lebih-lebih lagi dalam konteks universiti iaitu setiap arahan tidak boleh dianggap hanya semata-mata boleh dilaksanakan di semua peringkat,” ujarnya.


