AGENDA

Cadang laksana pelepasan cukai warga emas, OKU, tambah peruntukan Orang Asli

18 Okt 2024, 12:45 PM
Cadang laksana pelepasan cukai warga emas, OKU, tambah peruntukan Orang Asli

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan bercadang melaksana pelepasan cukai pendapatan individu bagi aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan warga emas, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan kebajikan warga emas akan ditingkatkan mencecah RM1 bilion bagi membiayai bantuan tunai, wang saku institusi warga emas dan pusat aktiviti.

Pertama: pelepasan cukai perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa diperluas untuk meliputi kos vaksin

Kedua: pelepasan cukai perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan diperluas kepada ibu bapa

Ketiga: pelepasan cukai perbelanjaan rawatan perubatan bagi ibu bapa turut merangkumi datuk dan nenek

Keempat: pengecualian cukai pendapatan individu ke atas elaun penjagaan anak diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek

Kelima: Potongan cukai tambahan bagi majikan yang membayar elaun penjagaan anak turut diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan turut bercadang meringankan tanggungan pembayar cukai Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan cadangan berikut:

Pertama: pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada RM7,000

Kedua: pelepasan cukai tambahan bagi pasangan OKU dinaikkan kepada RM6,000

Ketiga: pelepasan cukai bagi pembayar cukai mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada RM8,000.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan peningkatan peruntukan hampir RM380 juta kepada komuniti Orang Asli berbanding RM330 juta sebelum ini.

Menurutnya, peruntukan pembangunan itu termasuklah meningkatkan taraf hidup Orang Asli melalui projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.

“Sejumlah RM10 juta disediakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk bekerjasama membina rumah di bawah program EPIC Homes.

“Projek tersebut akan membekal elektrik dan air bersih kepada Orang Asli dengan lebih jimat dan pantas,” katanya.

Anwar menambah, kerajaan akan membangunkan profil dan pemetaan kawasan cerun yang berisiko tinggi di perkampungan Orang Asli dengan kos RM18 juta.

Katanya, projek pembangunan itu akan dilaksana di perkampungan yang memerlukan perhatian segera bagi mencegah isu tanah runtuh yang kerap berlaku.