Setahun sudah serangan Harakat al-Muqawamah al-Islamiyyah atau Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober, namun krisis Palestin bukan baru berusia setahun.
Perang yang menjadi berita wajib saban hari di media-media seluruh dunia ini bukan bermula 7 Oktober 2023, atau ketika Perang Gaza 2008-2009, Sabra Shatila 1982, Perang Enam Hari 1967 atau apa-apa tarikh genting lain dalam sejarah Palestin moden.
Paling tidak, penindasan terhadap bumi Palestin sudah berlaku sejak 1948 saat lebih 700,000 warga Palestin dihalau keluar dari watan sendiri.
Setelah itu, pelbagai siri penindasan lain berlaku secara terang-terangan di pentas dunia.
[caption id="attachment_666671" align="aligncenter" width="755"]
Kepulan asap dan api kelihatan selepas tentera Israel menyerang menara tinggi di Gaza pada 7 Oktober 2023. Serangan balas Zionis susulan tindakan Hamas menangkap lebih 250 rakyat negara itu sebagai tebusan[/caption]
Sejak awal perang tanggal 7 Oktober, pelbagai pandangan dilontarkan sama ada menyokong atau mengkritik.
Namun, tokoh perundangan Islam dan pemikir tersohor dari Mesir, Dr Muhammad Salim al-‘Awwa dalam satu wawancara mempertahankan serangan itu.
Bagi tokoh berusia 80-an ini, itu tanggungjawab warga terjajah menghadapi penjajah.
Apabila ditanya tentang ancaman bahaya dari Israel akibat serangan itu, beliau menyebut pelbagai usaha perdamaian dan perjanjian telah dilakukan sejak berdekad-dekad, namun semua itu tidak berhasil.
Bukan hanya Palestin, malah Lubnan, perbatasan Mesir, Bukit Golan di Syria, Iraq dan Iran.
Logik perang yang digunakan al-‘Awwa dan ilmuwan yang sekepala dengannya sudah tentu sukar difahami bagi yang hidup damai dan makmur di negara masing-masing.
Implikasi bagi setiap keputusan yang diambil dalam konteks damai tidak sama dengan implikasi bagi keputusan yang diambil dalam konteks perang.
Penentangan terhadap penjajah bukan pembangkangan terhadap kerajaan yang sah.
Isunya bukan sekadar hak untuk mempertahankan diri, tetapi lebih daripada itu adalah untuk menentang penjajahan, sementelah penjajah yang layak digelar sebagai “kejahatan mutlak” sebagaimana kata ahli falsafah terkemuka dari Maghribi, Taha Abdul Rahman.
Di sebalik perang fizikal yang laksana api nan marak, serentak dengan itu juga perang naratif hangat di seluruh dunia.
Jika selama ini naratif Israel melalui media elektronik dan cetak mudah mempengaruhi, namun kali ini segalanya sudah berubah.
Media sosial amat berkuasa sehingga menggugat naratif Israel termasuk di kubu kuat para pelobi mereka sendiri, Amerika Syarikat.
Saat ada negara Arab yang menormalisasi hubungan dengan Israel melarang perhimpunan pro-Palestin, protes mahasiswa di Amerika Syarikat pula secara terang-terangan melaungkan slogan melawan Israel sebagai penjajah.
Di Universiti Colombia, kedengaran “resist until victory” (Lawan sampai menang) dan “over 100,000 dead, Colombia, your hands are red” (Lebih 100 ribu mati, tangan anda berlumuran darah wahai Colombia).
Itu bukan berita awal atau pertengahan tahun ini yang memuncak dengan pelbagai protes mahasiswa, tetapi laporan New York Post pada 3 September 2024. Tandanya suhu protes masih tinggi.
Sebar mitos
Perang naratif ini penting sekali kerana Israel menyebarkan banyak mitos di media dan juga ruang akademik. Saintis politik Yahudi Ilan Pappe menganalisis 10 mitos utama yang dipropagandakan oleh Israel.
Antaranya ialah kononnya Palestin dahulunya tanah kosong, walhal bumi ini ada sejarah panjang tamadun kemanusiaan. Mereka juga mendakwa berhak untuk kembali ke Palestin.
Antaranya kerana alasan agama, walhal wacana untuk mengembalikan orang Yahudi ke Palestin dimulakan oleh tokoh-tokoh Kristian terutama beraliran Protestan.
Serentak itu, kebangkitan Messiah juga diimpikan untuk berlaku.
Mitos seterusnya menyamakan antara Zionisme dan Yahudi, sedangkan Zionisme adalah projek politik yang muncul terkemudian.
Kajian keagamaan dan sejarah cuba dipaksakan untuk menerima persamaan palsu itu.
Zionisme juga cuba dinafikan sebagai projek kolonial, dalam masa sama Israel dipromosikan sebagai negara demokrasi.
Walhal, menurut Pappe setelah memberi pelbagai hujah meyakinkan, Zionisme adalah projek kolonial yang belum selesai, serta penjajahan Israel tidak wajar digelar sebagai mengamalkan demokrasi.
Sekiranya awal rencana ini menyebut hujah cenderung 7 Oktober, namun saya percaya para pendukung perjuangan rakyat Palestin tidak sewajarnya selesa melepaskan geram di media atau di jalanan sahaja.
Tindakan lebih strategik meski berjangka masa panjang diperlukan. Bersuara di media sosial dan boikot produk yang sahih mendanai Israel boleh diteruskan, tetapi itu tidak memadai.
Bagi umat Islam, perseteruan antara aliran Islam perlu dipadamkan apabila melibatkan isu Palestin. Sunni dan Syiah sebagai contoh perlu berganding bahu dalam hal ini.
Malangnya, suasana semasa menunjukkan pertembungan antara dua aliran ini masih dinikmati Israel.
Seterusnya, jika Israel giat menyebarkan naratifnya sejak sekian lama, maka umat pro-Palestin juga hendaklah menyebar naratif tersendiri.
Naratif itu hendaklah berciri benar, sejagat, rasional dan memujuk agar bertambah ramai yang boleh diyakinkan.
Mitos-mitos Israel yang ditanam meluas pula hendaklah dibenamkan dan diganti dengan naratif sebenar.
Akhirnya, gerakan Zionis tidak menubuhkan Israel dalam satu malam. Israel tidak menjinakkan Amerika Syarikat dalam sehari.
Lobi berterusan dan strategik, perbelanjaan amat besar, kepimpinan berpengaruh dan pemerataan naratif hanya akan tewas melalui usaha setara atau lebih hebat yang dilakukan umat Islam. Ataupun kita mahu menantikan keajaiban sahaja?
*** Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia


