ANKARA, 12 OKT: Ribuan rakyat Palestin terperangkap di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza susulan serangan berterusan Israel sejak enam hari lalu, kata Doctors Without Borders (MSF) semalam.
MSF dalam satu kenyataan di platform X memaklumkan walaupun tentera Israel menuntut penduduk Palestin meninggalkan kawasan mereka di Jabalia, pada masa sama ia 'melakukan serangan yang menghalang orang ramai keluar dengan selamat,' lapor Agensi Anadolu.
"Pemindahan paksa dari kediaman dan pengeboman kawasan perumahan oleh tentera Israel menjadikan utara Gaza sebagai kawasan runtuhan yang tidak boleh didiami," menurut kenyataan itu.
Pertubuhan antarabangsa itu menyeru tentera Israel "untuk menghentikan pemindahan paksa dan serangan menyeluruh terhadap penduduk Gaza," selain memastikan perlindungan orang awam dan hospital.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa tentera Israel memberi amaran kepada tiga hospital di utara Gaza untuk memindahkan kakitangan dan pesakit, dengan ancaman pembunuhan, kemusnahan dan penahanan, sama seperti situasi di Hospital Al-Shifa beberapa bulan lalu.
Pengumuman itu dibuat selepas tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan di Jabalia di utara Gaza pada Ahad, dengan alasan untuk menghalang Hamas daripada mendapatkan semula kekuatan di kawasan itu.
Ini berikutan serangan sengit di kawasan timur dan barat utara Gaza sejak Mei.
Sejak memulakan serangannya ke atas Gaza pada Oktober 2023, Israel mengikut corak sama dengan mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai "zon selamat", menggesa penduduk Palestin berpindah ke sana, namun masih menyerang mereka di zon itu atau dalam perjalanan ke kawasan yang dijanjikan selamat.
Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Semenanjung Gaza walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata segera.
Lebih 42,100 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 98,100 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah sekatan berterusan yang mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Usaha perantaraan yang diketuai Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas gagal disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghentikan perang.
- BERNAMA-ANADOLU


