AGENSI

Mesyuarat khas bincang tindakan susulan isu GISBH diadakan esok

16 Sep 2024, 6:14 AM
Mesyuarat khas bincang tindakan susulan isu GISBH diadakan esok
Mesyuarat khas bincang tindakan susulan isu GISBH diadakan esok

SHAH ALAM, 16 SEPT: Mesyuarat khas akan diadakan esok bagi membincangkan tindakan susulan pihak berkuasa negeri berkait isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Mengesahkan perkara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata mesyuarat itu membincangkan khas mengenai tindakan selanjutnya yang akan dan perlu diambil oleh pihak berkuasa negeri khususnya Jais jika melibatkan soal akidah.

“Esok ada mesyarat khas, dipengerusikan Pengerusi Mais (Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof) yang akan bincangkan khas mengenai tindakan selanjutnya yang akan dan perlu diambil oleh pihak berkuasa negeri khususnya Jais jika melibatkan soal akidah.

“Kita tidak tahu agenda (mesyuarat) lagi, tapi saya tahu berdasarkan kenyataan (Mais) sebelum ini banyak arahan kepada Jais dan arahan itu akan diperincikan esok, apa yang Jais perlu buat.

“Mesyuarat akan turut libatkan polis dan beberapa pihak lagi,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di masjid negeri hari ini.

[caption id="attachment_595550" align="alignleft" width="500"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual Media Selangor di pejabat Jais, Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM[/caption]

Pada 14 September Abdul Aziz menerusi kenyataan mengesahkan penguat kuasa agama dan nazir sekolah di bawah Jais diarahkan menyiasat rumah amal dan sekolah di bawah GISBH.

Menurut Abdul Aziz langkah itu bagi memastikan tiada ajaran yang bertentangan dengan Islam disebarkan di rumah amal dan sekolah itu termasuk rangkaiannya.

Kenyataan itu turut menyebut pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 perlu dibuat segera jika rumah amal dan sekolah itu terlibat dengan ajaran menyeleweng.

Selain itu sekolah Islam yang terlibat dengan kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran menyeleweng daripada agama Islam juga hendaklah dibatalkan pendaftarannya di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Mais turut menasihati umat Islam dalam Selangor supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran atau fahaman mencurigakan.

GISBH terpalit kontroversi selepas 20 premis membabitkan pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada 11 September lalu.

Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis untuk siasatan lanjut.