ad
BERITA UTAMA

Terbuang di hari merdeka, tokoh pejuang dihantar ke luar negara

31 Ogos 2024, 4:00 AM
Terbuang di hari merdeka, tokoh pejuang dihantar ke luar negara

Oleh NOOR AZAM SHAIRI

Daripada sekian banyak catatan mengenai peranan dan sumbangan wartawan dalam perjuangan kemerdekaan, ada satu nota kaki sejarah yang cukup mengharukan hati – tentang A Samad Ismail yang tidak berada di tanah air ketika Malaya merdeka.

Pada pagi bendera Union Jack diturunkan secara rasmi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Samad sudah tercampak ke Indonesia.

“Saya berangkat ke Jakarta sehari sebelum Malaya mengisytiharkan kemerdekaannya. Agak pilu sekali hati meninggalkan tanah air menjelang hari bersejarah,” tulis Samad dalam memoirnya yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Samad ditugaskan ke Jakarta atas arahan ketuanya, Yusof Ishak. Utusan Melayu ketika itu sedang dalam proses berpindah operasi dari Singapura ke Kuala Lumpur. Samad, yang ketika itu berumur 33 tahun, sudah 16 tahun berkhidmat dengan Utusan. Jawatannya timbalan ketua pengarang.

Samad berpendapat perpindahannya dibuat dengan tergesa-gesa. Yusof tidak menyebut berapa lama tugasannya di Jakarta sebaliknya cuma berkata: “Tunggu perintah selanjutnya.”

Yusof juga tidak membantu proses perpindahan itu, kata Samad. Semua diurusnya sendiri, selain tiada arahan yang jelas. Menurut Samad, arahan Yusof hanyalah “hantar berita dan rencana agama”.

Atas sebab itulah Samad beranggapan perpindahannya tanpa perancangan yang teliti. Mujur selama di Jakarta, Samad mendapat bantuan sahabatnya Adam Malik (kemudian naib presiden Indonesia) yang menolongnya mendapatkan pejabat dan tempat tinggal serta memperkenalkannya kepada beberapa tokoh politik republik itu.

Ketika arahan pindah itu keluar, kakitangan Utusan menganggapnya sebagai tidak adil. Mereka sedia untuk mogok demi membela Samad. Mereka juga menggesa Samad supaya tidak usah patuh kepada arahan Yusof.

Tinggal Utusan

Namun Samad tidak mahu bertindak balas, walaupun dia berpengaruh besar kepada parti-parti politik dan kesatuan buruh di Singapura pada masa itu. Samad akur tetapi dia juga sudah membulatkan tekad bahawa masanya di Utusan sudah berakhir.

Benar kata orang, setiap kali satu pintu tertutup, ada pintu lain yang terbuka. Tidak lama sebelum ke Jakarta, pada suatu tengah hari, ketika berjalan di depan pejabat Strait Times, Samad terserempak dengan ketua pengarangnya Leslie Hoffman.

Samad bertanya khabar tentang Straits Times hendak menerbitkan sebuah akhbar bahasa Melayu dalam rumi di Kuala Lumpur. Hoffman mengiyakan. “Kamu berminat?” Tanyanya kepada Samad.

Apa yang berlaku kemudiannya membuka bab baharu dalam kerjaya Samad sebagai wartawan. Samad yang mula bekerja dengan Utusan pada awal 1941, ketika umurnya 17 tahun, berhenti pada Mac 1958 selepas terbuang di Indonesia selama lebih kurang enam bulan.

Sayang sekali, Samad tidak menulis panjang tentang episod itu dalam memoirnya yang terbit pada 1993. Aneh, kerana ‘pembuangannya’ ke Jakarta menjadi batu tanda penting dalam kerjaya Samad sebagai wartawan.

Episod itu dicerita seperti tidak dengan sepenuhnya. Malah, kalau diteliti, ada kesilapan fakta yang besar tentang seluruh catatannya. Misalnya, Samad menulis dia berhenti dari Utusan Melayu pada November 1958 tetapi dalam buku yang sama terlampir surat Yusof menerima peletakan jawatannya berkuat kuasa 3 April 1958.

Cuma menariknya, Samad menimbulkan tanda tanya: Akal siapa sebenarnya sehingga dia tercampak ke luar negara dan terlepas melihat tanah airnya merdeka?

Benarkah seperti kata Yusof, dia terpaksa dihantar ke Jakarta kerana Ketua Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman Putra tidak mahu Samad ikut berpindah ke Kuala Lumpur? Samad diketahui lantang mengkritik pentadbiran Tunku, yang antaranya dianggap masih tidak merdeka sepenuhnya daripada pengaruh British.

Atau apakah benar Yusof menggunakan nama Tunku untuk menutup keputusannya sendiri?

Pada beberapa bahagian dalam memoirnya, Samad secara berterus-terang menyebut hubungannya dengan Yusof tidak begitu baik. Dia mendakwa Yusof “agak iri hati dengan kewibawaan saya di Utusan” sehingga kemudian mencari-cari salahnya. Samad dan Yusof juga tidak sehaluan dalam menetapkan hala tuju Utusan.

Atau apakah penyingkiran Samad ke Indonesia ada kaitan dengan perkembangan politik di Singapura menjelang pilihan raya umum 1959?

Tiada siapa yang tahu secara pasti. Cerita itu tinggal menjadi nota kaki sejarah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.