PETALING JAYA, 15 JULAI: Dato’ Menteri Besar berharap tiada lagi pihak memainkan isu sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Dato’ Seri Amirudin Shari semua pihak harus lebih menekankan isu berdasarkan data dan fakta selain merancang pembangunan negara serta negeri.
“Ini sebagai peringatan dan kena berhati-hati ketika berucap dan ini juga untuk diri saya. Sebenarnya langkah kerajaan mengingatkan isu jangan menunggang 3R ini wajar.
“Akhirnya ia boleh memakan diri kalau kita salah mengeluarkan pandangan dan ia salah difahami masyarakat,” katanya ketika menghadiri program Suara Anak Muda #INIMASAKAMI di Live Art di sini hari ini.
[caption id="attachment_593149" align="alignnone" width="890"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama anak muda selepas program Suara Anak Muda #INIMASAKAMI di PJ Live Art, Petaling Jaya pada 15 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Selasa lalu, Menteri Besar Kedah didakwa mempersenda institusi diraja Selangor ketika memberi ceramah politik di Selayang.
Berdasarkan rakaman, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyebut: "Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia macam Amir(uddin).
Perkara itu mendapat kecaman ramai malah beberapa pihak turut membuat laporan polis berhubung perkara itu termasuk ahli dewan di-Raja Selangor.
Pagi tadi, ketua pengarah Perikatan Nasional itu menerusi Facebook memaklumkan sudah merafak sembah memohon maaf daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.


