GLOBAL

Amerika mahu China kawal tindak tanduk Korea Utara

3 Jun 2017, 4:48 PM
Amerika mahu China kawal tindak tanduk Korea Utara

SINGAPURA 3 JUN: Amerika Syarikat (AS) menyambut baik usaha China mengawal tindak tanduk Korea Utara, tetapi menolak usaha Beijing menukar kepulauan di Laut China Selatan menjadi pangkalan tentera, kata Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis.

REUTERS melaporkan kenyataan Mattis, pada Dialog Shangri-La menunjukkan cara pentadbiran Presiden Donald Trump cuba mengimbangi kerjasama dengan China untuk mengehadkan program senjata nuklear dan peluru berpandu, sambil menangani aktiviti Beijing di Laut China Selatan.

Trump secara aktif mendapatkan sokongan Presiden Xi Jinping, untuk mengawal Korea Utara. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Washington di Asia bahawa ia mungkin membolehkan China bergerak lebih bebas.

Bercakap di forum keselamatan utama Asia itu, Mattis berkata, ancaman Korea Utara 'jelas dan wujud' dan Pyongyang semakin pantas membangunkan senjata nuklear.

Amerika Syarikat berdepan kesukaran membendung program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, yang menjadi isu keselamatan utama kerana Pyongyang mahu membangunkan peluru berpandu nuklear yang mampu menyerang AS.

Pentadbiran Trump, sebelum ini mendesak China mengawal negara jirannya sambil memberi amaran bahawa semua pilihan dipertimbangkan, jika Korea Utara meneruskan program nuklearnya.

"Pentadbiran Trump menyambut baik komitmen baharu China bekerjasama dengan komuniti antarabangsa ke arah menghapuskan senjata nuklear," kata Mattis.

=EZY=

Latest
MidRec
About Us

Media Selangor Sdn Bhd, a subsidiary of the Selangor State Government (MBI), is a government media agency. In addition to Selangorkini and SelangorTV, the company also publishes portals and newspapers in Mandarin, Tamil and English.